Mengumpat atau dalam bahasa arab dipanggil Ghibah ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.
Rasulullah S.A. W. bersabda yang bermaksud:
“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
“Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat.” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).
Sabda Rasulullah S.A.W:
"wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah,
"Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
Hukum Mengumpat atau Ghaibah;
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan dirinya.
Kesan pada orang yang diumpat;
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat.
Menurut Imam Al-Ghazali banyak sebab mendorong seseorang itu suka mengumpat antaranya:
Menghilangkan kemarahan,
- Apabila seseorang itu marah pada seseorang, maka disebut kejahatan dan kelemahan orang itu. Lebih teruk jika dicampurkan dengan hasat dan dengki.
Menjaga hati kawan yang mengumpat.
- Ketika seseorang kawan marah dan mengumpat orang lain, orang yang mendengar itu turut serta menambahkan cerita yang ia tahu mengenai kejahatan dan kelemahan orang yg diumpat.
Melepaskan diri apabila sesuatu kepincangan dalam masyarakat.
- Lantas dia mengumpat dan menyalahkan orang lain untuk melepaskan diri daripada bertanggungjawab terhadap kemungkaran itu.
Menunjukkan kebaikan diri sendiri,
- Yang ingin membuktikan kebaikannya dia memuji diri sendiri dan membandingkan dengan orang lain.
Dengki apabila orang lain mendapat nikmat dan rahmat dari ALLAH,
- Dia berasa dengki lalu menceritakan keburukan orang lain. Kadang-kadang dia mendakwa, dialah yg lebih berhak mendapat anugerah itu.
Menghina orang.
- Cara yang paling mudah untuk menjatuhkan orang lain ialah dengan dengan menceritakan keaiban orang itu.
Tujuan bergurau,
- Bagi membolehkan senda gurau lawak jenakanya diberi perhatian oleh orang ramai, ia mengumpat orang lain agar ditertawakan oleh pendengar.
Di dalam Islam terdapat 6 perkara yang dibenarkan bagi seseorang mengumpat..
Pertama,
- Mengadukan kezhaliman (At-Tazallum),Iaitu kerana dizalimi atau untuk mencari keadilan.
- Contohnya, mengatakan kepada Qadi bahawa Si Fulan bin Si Fulan menzalimi diri saya. Atau, mengatakan kepada Sultan bahawa seorang Qadi telah menzalimi diri saya.
Kedua,
- Permintaan bagi membantu mencegah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar (al isti’ânah ‘ala taghyîril munkar wa raddal ‘âshi ila ash shawâb).
- Menceritakan kepada orang yang boleh diharapkan untuk mencegah kemungkaran dengan cara menerangkan si Fulan telah melakukan itu atau ini dan sekaligus menyelamatkan fulan tersebut dari kemaksiatan dan kemungkaran
Ketiga,
- Permintaan fatwa (al istiftâ`). Mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini.
- Seperti apa yang diriwayatkan daripada perempuan yang bernama Hindun. Maka, mengadu ia akan hal suaminya, Aba Sufyan kepada Nabi S.A.W. Ertinya, “Bahawasanya Aba Sufyan laki-laki kikir (kedekut). Padahal ia tiada memberi akan daku dan akan anak ku makanan dan pakaian yang memadai akan daku.
- Dan, adakah harus (boleh) aku mengambil akan makanan atau pakaian itu dengan tiada ia mengetahui akan yang demikian itu?
- Maka, sabda Nabi S.A.W, “Ambil olehmu akan makanan dan pakaian itu yang memadai akan dikau dan akan anakmu dengan yang Ma’ruf (Kebaikan), dan jikalau tiada ia mengetahui akan yang demikian itu sekalipun.”
Keempat,
- Iaitu mengingatkan orang Islam akan kejahatan. Ertinya, harus mengkhabarkan kejahatan orang kerana menakuti akan orang Muslim daripada kejahatan orang itu.
- Contohnya, jikalau bertanya seseorang akan dikau akan hal orang yang dijadikannya akan saksi itu, jikalau engkau ketahui akan orang itu jahat. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan orang itu.
- Jika orang yang berkehendak beristeri. Maka bertanya ia akan dikau akan perempuan yang hendak diperbuatnya isteri itu. Padahal, ia jahat perbuatannya. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan perempuan itu.
Kelima,
- Seseorang yang memperlihatkan secara terang-terangan (al- mujâhir) kefasiqan atau perilaku bidaahnya.
- Seperti memperlihatkan perbuatan minum arak, merampas barangan, mengambil ufti( memberi wang, emas dan sebagainya kepada yang berkuasa), pengumpulan harta secara zalim, memimpin dengan sistem yang batil iaitu selain dari sistem Islam dan sebagainya.
- Maka ini boleh untuk disebutkan kerana perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan (mujâharah). Namun bergitu, hal-hal lain yang merupakan aib yang disembunyikan tidak boleh untuk diceritakan melainkan tujuannya adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini
Keenam,
- Panggilan nama atau gelaran(at-ta’rîf).
- Jika seseorang itu telah dikenali dengan nama laqab (panggilan atau gelaran) seperti al-A’masy (Si Mata Rabun) atau al-A’raj (Si Tempang), atau al- Ashamm (Si Pekak), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling), dan sebagainya maka mereka boleh digelar dengan panggilan tersebut namun diharamkan untuk menyebut kekurangannya yang lain.
- Akan tetapi adalah lebih baik sekiranya gelaran-gelaran ini tidak di gunakan untuk memanggil seseorang dan dihindari dari digunakan.
- Kata Hasan Al-Basriyy Rahimahullahu Taala, Ertinya, “Tiga orang haram atas orang yang mengumpat bagi mereka itu. (Pertama) Orang yang bidaah.(Dan kedua) Orang yang Fasiq yang menzahirkan ia akan maksiatnya itu sekira-kira jikalau dikata oleh orang akan kejahatannya itu, nescaya tiada ia benci akan yang demikian itu. (Dan Ketiga) Raja-raja yang zalim. Maka tiada haram atas seseorang menyebutkan akan pekerjaannya yang zalim itu.”